Katanya, beliau akan segera berbincang dengan para pemimpin PH negeri ini agar calon-calonnya dapat dipilih secepat mungkin.

“Saya komited untuk memastikan lantikan yang kita buat adalah dari kalangan mereka yang boleh menjalankan tanggungjawab di kampung masing-masing, dan boleh menyokong visi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dalam membangunkan desa di Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Perlis bagi kali kedua tahun 2019 di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Rina memaklumkan telah memberi mandat kepada Wan Saiful untuk memilih lima lantikan tambahan MPKK di negeri ini.

Setakat ini di Perlis, PH masih belum menghantar nama calon-calon ahli MPKK lantikan menteri itu.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengucapkan terima kasih kepada Rina atas kepercayaan tersebut.

“Dengan bantuan kementerian, saya akan segera berbincang dengan para pemimpin PH negeri agar calon-calon dapat dipilih secepat mungkin,” katanya. - UTUSAN ONLINE