Wan Azizah berkata, ini kerana walaupun Bersatu ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan bekas Presiden UMNO, namun asas penubuhan Bersatu jelas berbeza dengan UMNO.

“Bersatu tidak sama dengan UMNO, sebab apa Bersatu itu ditubuhkan sendiri berbeza daripada UMNO, asas itu dah lain.

“Dia (Dr. Mahathir) sebagai bekas Presiden pun tinggalkan UMNO dan tubuhkan Bersatu,” katanya selepas menghadiri majlis minum petang Wanita PKR negeri di Dewan Orang Ramai, Pantai Robina di Teluk Ayer Tawar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Dr. Mahathir yang mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata, pelawaan Dr. Mahathir itu mungkin dibuat untuk menambah bilangan ahli Bersatu namun setakat ini pimpinan serta ahli Pas dan UMNO telah memberi petunjuk bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai parti berkenaan.

“Oleh kerana Bersatu adalah parti berasaskan Melayu maka dia (Dr. Mahathir) meminta parti-parti berasaskan Melayu untuk berfikir tentang bergabung dengan Bersatu.

“Tetapi saya fikir Pas dan UMNO telah memberi petunjuk bahawa mereka benar-benar tidak berminat (menyertai Bersatu),” katanya. - UTUSAN ONLINE