Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd. Shaid Rosli berkata, Wan Azizah perlu meletakkan jawatan terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa di antara Dr. Mahathir dan Anwar berlaku dalam tempoh berbaki setahun lagi.

Kenyataan Mohd. Shaid itu dilihat bagi membalas tekanan dan desakan penyokong Anwar yang meminta Dr. Mahathir menyatakan segera bila tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri mahu dibuat.

"Tidak mungkin dalam pelantikkan Anwar sebagai Perdana Menteri, sedangkan kedudukan Timbalan Perdana Menteri adalah Wan Azizah yang juga isteri kepada Anwar.

"Wan Azizah perlu terlebih dahulu melepaskan jawatannya bagi membolehkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri baharu dibuat dan seterusnya dijayakan pula proses peralihan kuasa antara Dr. Mahathir dengan Anwar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Shaid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram menambah, isu peralihan kuasa Perdana Menteri seharusnya dibuat mengikut persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan bukannya datang daripada satu parti sahaja.

Beliau pada masa yang sama mengingatkan PKR agar jangan mengaitkan isu dalaman parti itu mengenai penyebaran video seks sejenis mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan mana-mana parti lain dalam PH.

"Biarlah isu dalaman PKR diselesaikan kepimpinan parti itu sendiri kerana keharmonian dan kerjasama dalam PH amat penting dalam membina Malaysia baharu," katanya. -UTUSAN ONLINE