Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, Suhaizan Kaiat berkata, cadangan tersebut adalah antara lima resolusi yang dicapai pada Bengkel Memperkasa Dewan Undangan Negeri Johor selama dua hari yang berakhir hari ini.

Katanya, peruntukan sebanyak RM350,000 setahun kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini pada masa kini tidak mencukupi.

“Wakil rakyat perlu melaksanakan pelbagai aktiviti bersama rakyat dengan lebih kerap. Jadi, dicadangkan peruntukan baharu sebanyak RM800,000 setahun itu perlu dilaksanakan mulai tahun 2020,” katanya berucap pada majlis perasmian penutup Bengkel Memperkasa Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Majlis penutup Bengkel Memperkasa Dewan Undangan Negeri Johor disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Suhaizan berkata, empat resolusi lain yang dibentangkan adalah penstrukturan semula institusi DUN Johor, mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan, mempertingkatkan mutu perbahasan DUN Johor serta melaksanakan ‘live streaming’ setiap kali DUN Johor bersidang.

Katanya, kesemua resolusi yang dicadangkan tersebut akan diserahkan kepada Menteri Besar bagi tujuan penambahbaikan terhadap DUN Johor.-UTUSAN ONLINE