Ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan agung sayap masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan yang menyifatkan kelompok wakil rakyat tersebut sebagai ‘petualang’ mendesak pucuk pimpinan parti itu mengambil tindakan tegas termasuk dari segi undang-undang.

Noraini dalam ucapannya mahu parti memastikan satu reformasi terpimpin terhadap Perlembagaan parti dilakukan bagi mengambil tindakan ke atas wakil rakyat UMNO yang keluar parti.

“Wakil rakyat perlu memulangkan semula kerusi kepada kita (UMNO dan Barisan Nasional) sekiranya mereka bertindak keluar parti.

“Meskipun ia bukan satu kesalahan dari segi undang-undang sivil, namun tindakan wakil rakyat yang melompat parti telah melanggar kontrak sosial dan menghancurkan kepercayaan parti,” katanya.

Asyraf Wajdi pula berkata, tindakan tegas itu wajar kerana mereka menggunakan segala kemudahan parti untuk meraih jawatan sebelum ini.

“Ingatlah UMNO yang kalian sisih inilah yang pernah menatang anda di waktu senang, mendukung anda hingga ke puncak. Mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti tetapi akhirnya curang kepada akar umbi perlu diambil tindakan tegas termasukan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Zahida turut mendesak tindakan tegas dan drastik melalui proses undang-undang ke atas wakil rakyat berkenaan.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan sama ada mereka menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai parti lain.

Selain 13 ADUN di Perak, Sabah dan Johor, lima Ahli Parlimen daripada UMNO yang meninggalkan parti itu ialah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr.Noor Azmi Ghazali, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.