Kepercayaan dan tanggungjawab itu mesti digalas dengan sebaik-baiknya. Sekarang bukan lagi masa untuk beretorik mahupun bernostalgia mengenai legasi kepemimpinan ketua terdahulu mahupun bercakap soal menjadi tulang belakang dan srikandi parti. Cukuplah, ahli sudah muak mendengar semua itu. Perlu ada kesungguhan untuk berubah, mereka mahukan pembaharuan dari segi hala tuju, agenda dan struktur gerakan parti.

Tak perlu lagi berpolitik mengenai soal merapatkan saf, menyatukan ahli parti. Isu itu sepatutnya berakhir sebaik sahaja pemilihan selesai. Buktikan semangat kekeluargaan dalam UMNO kukuh. Yang kalah terima kekalahan dengan terbuka, tidak berkecil hati mahupun menjauhkan diri, sebaliknya terus setia dalam pergerakan dan beri sokongan padu kepada kepemimpinan baharu.

Ini masanya untuk be­kerja, rangka gerak kerja memperkukuhkan parti. Perlu ada tekad untuk berubah menjadi sayap UMNO mewakili golo­ngan wanita yang relevan dengan perkembangan politik semasa. Ada keberanian untuk melakukan kelainan, bertindak dan sentiasa di depan dalam menghadapi sesuatu isu.

Kepemimpinan baharu ke­dua-dua pergerakan ini diharap kaya dengan idea untuk mantapkan lagi parti tanpa dibayangi cara pemimpin terdahulu. Lakukan perubahan, jana idea baru untuk tarik sokongan rakyat khususnya golongan muda yang dilihat lebih cenderung kepada Pakatan Harapan.

Perlu ada kerjasama lebih mantap antara Wanita dan Puteri. Duduk semeja, bincang agenda untuk rakyat, fahami apa yang diperlukan ahli. Diharapkan Noraini mampu me­lakukannya dengan sokongan Zahida mengambil kira beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan Ketua Puteri.

Noraini boleh berperanan untuk mewujudkan gandi­ngan yang lebih mantap antara Wanita dan Puteri supaya suara wanita lebih lantang dan didengari di semua peringkat. Pemuda dengan caranya, sementara Wanita dan Puteri juga perlu ada pendekatan sendiri untuk menjadi perge­rakan yang lebih agresif.

Corak kepemimpinan ke­dua-dua pergerakan ini juga seharusnya berubah, bergerak dalam satu pasukan yang membawa suara wanita dengan lebih mantap. Jangan lagi bentuk jurang ‘pemisah’ ter­utamanya dalam soal memberi peluang kepada seseorang pemimpin untuk ke hadapan.

Jangan cantas cerdik pandai, galakkan pertembungan idea demi kelangsungan parti. Sesiapa sahaja yang ada idea dan pandangan, benarkan mereka bersuara. Terima teguran dan kritikan ahli dengan terbuka.

Wanita mahupun Puteri juga tidak boleh lagi ada politiking sesama mereka. Jadi sayap parti yang lebih kritikal dan lantang. Pembaharuan yang dibuat perlu mengambil kira suara semua pihak khususnya golongan muda. Dari sekarang, Noraini mahupun Zahida bersama jentera ma­sing-masing, harus memulakan gerakan untuk menghadapi cabaran PRU lima tahun lagi.