Enam klip video berdurasi tiga minit setiap satu itu diedar kepada kira-kira 80 pengamal media dan ahli politik seperti mana cara penyebaran video ‘Jemputan raya Azmin’ mengaitkan pasangan yang sama kira-kira tiga bulan lalu.

Namun, menurut portal Malaysiakini, video yang disebarkan kali ini adalah video yang sama seperti sebelum ini.

Kontroversi video lucah oleh pelaku mirip Mohamed Azmin baru-baru ini dihangatkan lagi dengan pengakuan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa beliau salah seorang pelaku dalam video berkenaan.

Ia berlarutan sehingga melibatkan tangkapan beberapa individu termasuk Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pula telah menyerahkan kepada polis laporan analisis video itu yang dijalankan oleh Verden Forensics di Britain baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE