Johan yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) DUN tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, pihaknya akan memberi ruang dan peluang kepada individu lain untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

"Bila seseorang pegang jawatan dalam parti, dia mesti ada hasrat untuk bertanding. Sekiranya tidak memberi peluang, mereka tidak dapat bertanding.

"Bagaimanapun, saya masih memegang jawatan Pengarah Jentera DUN dan ia juga telah diputuskan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akan menyerahkan enam nama calon yang akan bertanding pada PRK DUN Semenyih kepada pimpinan pusat esok.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas penyandangnya Mohd. Bakhtiar Mohd. Nor meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Mohd. Bakhtiar mengalahkan Johan pada PRU-14 tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi apabila meraih 23,428 undi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehen Mukhyi pada sidang akhbar yang sama menjelaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan membantu UMNO pada PRK DUN Semenyih nanti.

"Fokus kita adalah memastikan 6,966 undi yang Pas perolehi pada pilihanraya lalu akan dikekalkan, malah bertambah lagi 20 peratus. Selain itu, kita juga akan memastikan semua yang mengundi Pas akan mengundi calon UMNO.

"Kita yakin dapat undi kerana dengan konflik dan krisis ketidakpercayaan rakyat yang tinggi kepada Pakatan Harapan. Malah, kita akan memberi komitmen kerana nada ini telah turun daripada Pas Pusat mengarahkan supaya kita bekerjasama," ujarnya.- UTUSAN ONLINE