Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan jawatan itu disifatkan sebagai angkuh sekali gus membelakangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku ketua dalam pembangkang.

“Saya minta Lim Guan Eng tanya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri kerana kita tahu jawatan dalam kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri.

“Kalau Tun Dr. Mahathir berangan-angan mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, bukan Guan Eng yang tentukan Menteri Kabinet (tetapi Mahathir), jadi nak tanya Guan Eng kenapa angkuh sangat sehingga kalau betul dia nak kedua-dua ahli Parlimen DAP jadi jemaah menteri, kenapa dia pula yang buat pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Rela Bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Gelanggang Bola Keranjang, pekan Kahang, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, R. Vidyanathan dan penyandang kerusi DUN Paloh, Teoh Yap Kun.

Guan Eng baru-baru ini ketika mengumumkan Nga Kor Ming sebagai sebagai calon DAP di Parlimen Teluk Intan, Perak berkata, Pengerusi DAP Perak itu akan dilantik menteri pusat jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Guan Eng juga turut mengumumkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai menteri Pusat jika menang di Parlimen Ayer Hitam. - UTUSAN ONLINE