Naib Ketua Pergerakan Pemudanya, Shahril Sufian Hamdan berkata, dalam soal rasmi kepartian, UMNO dinasihatkan supaya tidak terlalu bertindak melulu.

Jelasnya, rundingan dan kerjasama pada waktu ini perlu dikaji sedalam-dalamnya.

“Ada ‘rundingan’ untuk kita menyelinap masuk pintu belakang kerajaan. Takkan kita nak jadi broker dan biarkan pemimpin lain parti jadi Perdana Menteri?

“Kita kukuhkan parti kita terlebih dahulu. Bila kita dihormati, baharu kita fikir untuk berunding. Ini yang kita kena fikir. Tidak ada 'deal' pun tidak apa. Kita lawan. buat apa takut jadi pembangkang?” soalnya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Tambah Shahril Sufian, Pemuda UMNO perlu bergerak pantas kerana tidak mempunyai masa lagi untuk bertenang.

Jelasnya, dalam peralihan kerajaan baharu, ramai ketua bahagian UMNO yang hilang sumber pendapatan.

Malah, katanya, ramai juga rakan Pemuda UMNO di agensi kerajaan dan dalam ekosistem politik hilang pekerjaan sekelip mata.

“Pemuda UMNO tidak ada masa panjang lagi nak bertenang. Yang masih kekal pada waktu ini adalah semangat kita yang tidak luntur walau sedikit. Pemuda UMNO masih bersemangat dan masih ke depan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE