Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, mereka perlu meneruskan kempen untuk meraih sokongan rakyat dengan menterjemah pemberian undi kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kelak.

Menurutnya, UMNO juga tidak boleh terlalu bergantung kepada sokongan dan kerjasama daripada Pas dengan terus terbuai-buai mengenai campuran jumlah undi kedua-dua parti itu yang kononnya mampu mengalahkan pihak lawan.

“Boleh sekiranya kita teruskan dengan cara cepat seronok, apatah lagi dengan kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) lepas... Maka kita kekalkan kepercayaan bahawa undi UMNO campur undi Pas boleh menang.

“Tetapi, adakah semudah itu sifir politik kita dan semudah itu juga kita melayan pengundi muda terutamanya mereka yang berada di atas pagar,” soalnya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail dan Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Syed Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Shahril Sufian berkata, walaupun Pemuda UMNO akan meneruskan kempen menambah keahlian, tetapi perkara yang lebih utama adalah menarik sokongan golongan muda terhadap parti itu.

“Gerak kerja kita bukan fokus kepada soal keahlian semata-mata, tetapi jauh lebih penting adalah tahap sokongan kerana realitinya tidak semua berminat menjadi ahli sesuatu parti.

“Kita dapat lihat dalam PRU-14, UMNO yang memiliki ahli lebih tiga juta orang pun boleh kalah dan parti lain yang tidak ramai ahli mampu menang, jadi tahap sokongan tidak berdasarkan jumlah keahlian 100 peratus,” katanya. - UTUSAN ONLINE