Permohonan maaf itu ekoran tindakan biadab ADUN Pengkalan Batu yang menghina fizikal Zaidi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Biro Penerangan UMNO DUN Serkam, Rizal Ramli berkata, seluruh ahli serta kepimpinan UMNO Serkam kecewa dengan tindakan kurang sopan Exco kerajaan negeri yang sering mencetuskan kontroversi itu.

“Sebagai anggota kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta menghina orang lain lebih-lebih lagi dalam dewan yang mulia serta ditonton oleh orang ramai.

“Jangan bertindak macam orang tidak sekolah melainkan beliau memang tidak pernah bersekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan demonstrasi bantahan terhadap Exco tersebut di hadapan pintu masuk Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Muhammad Husni Abd. Aziz serta lebih 40 ahli UMNO DUN Serkam.

Kesemua mereka yang membuat bantahan berkumpul di hadapan Seri Negeri bermula pukul 11 pagi dengan membawa sepanduk. Demonstrasi berakhir sejam kemudian.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Dr. Akmal Saleh telah menghantar memorandum bantahan terhadap Norhizam kepada Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar.

Ketika sesi soal jawab pada Persidangan DUN kelmarin, berlaku pertikaman lidah antara Norhizam dengan pembangkang apabila beliau menyebut ‘UMNO mati’.

Zaidi yang bangun untuk membacakan peraturan Dewan, ditegur Norhizam dengan berkata beliau hanya mendengar suara namun tidak nampak orang yang bercakap.

“Saya dengar suara je, orang saya tak nampaklah. Kalau nak baca buku (Peraturan Dewan) panjat kerusilah baru saya nampak.” -UTUSAN ONLINE