Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan cadangan memilih enam nama itu adalah hasil mesyuarat khas yang diadakan bersama pada hari ini.

"Enam calon ini ialah empat ahli jawatankuasa daripada wanita, pemuda dan bahagian manakala dua lagi golongan profesional yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.

"Calon yang dipilih ini bukan berdasarkan jawatan dalam parti, sebaliknya individu yang diterima rakyat dan mempunyai potensi besar untuk menang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

PRK SEMENYIH
 

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz, Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehen Mukhyi dan Ketua Muslimat Pas negeri, Wan Hasrina Wan Hassan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Timbalan Presiden UMNO turut menyatakan bahawa PRK DUN Semenyih pada kali ini memberikan kelainan apabila UMNO Selangor akan bekerjasama dengan Pas dalam segala aspek.

Jelasnya, pada dua PRK lalu iaitu Sungai Kandis dan Seri Setia, kerjasama antara UMNO dan Pas agak longgar kerana hanya bersama dalam bentuk program sahaja.

"Berbeza pada kali ini, kita akan bekerjasama secara menyeluruh bukan sahaja dalam bentuk program tetapi Pas akan membantu kita sepanjang musim berkempen hingga proses mengundi.

"Antara yang akan kita lakukan ialah mewujudkan jawatankuasa bersama bagi menyelaraskan gerak kerja selain melancarkan jentera PRK.

"Malah, sayap bagi kedua-dua parti juga akan bekerjasama sepanjang PRK nanti," ujarnya. - UTUSAN ONLINE