Ketuanya, Akbar Salim berkata, ura-ura desakan supaya diadakan pemilihan semula hanyalah daripada segelintir pihak yang tidak boleh menerima keadaan dalam UMNO hari ini.

Beliau berkata, semua pihak harus sedar kembalinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah atas dasar beliau sebagai Presiden parti dan edah kepimpinannya adalah sehingga 2021.

“Kita sebagai ahli parti seharusnya beri sokongan kepada Presiden yang telah dipilih secara demokrasi, edah pemilihan adalah pada 2021, bagi saya tidak sepatutnya wujud desakan untuk diadakan pemilihan semula.

“Kembalinya Datuk Seri Zahid atas dasar dia masih Presiden parti, dia tidak meletakkan jawatan tetapi hanya bercuti untuk menyelesaikan sedikit masalah pada waktu itu, dia kembali kepada organisasi UMNO untuk memimpin parti UMNO.

“Kita UMNO Bahagian Rantau Panjang berada di belakang kepimpinan yang ada hari ini, tidak kira siapa dan kita akan wala’ kepada pemimpin parti,”katanya kepada Utusan Online di sini semalam.

Beliau diminta mengulas wujud suara-suara dan desakan daripada akar umbi UMNO supaya pemilihan semula parti diadakan rentetan situasi semasa dalam parti itu termasuklah kembalinya Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kepemimpinan tertinggi BN.

Sementara itu, Akbar berkata, agenda penyatuan ummah antara UMNO dan Pas di Rantau Panjang diterima dengan baik malah sebenarnya telah bermula sejak tahun lalu lagi.

Katanya, sebelum ini sudah ada beberapa siri program bersama dengan Pas termasuklah mengadakan bantahan ICERD di Masjid Beijing dan kemudiannya bantahan Statut Rom.

“Semalam kita ada ceramah penyatuan ummah di Pusat Tarbiah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok oleh wakil-wakil rakyat Pas bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang mana kehadiran amat memuaskan dari ahli Pas dan UMNO.

“Penyatuan ummah di Rantau Panjang ini (berjalan baik) cuma jika ada segelintir yang tidak boleh terima ibarat kemuncup dalam kain sahaja sebab masih baharu,”katanya. - UTUSAN ONLINE