Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sekiranya tiga prinsip utama itu belum berubah, parti itu akan gagal dalam usaha tersebut meskipun terdapat kemarahan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan II memberikan contoh bagaimana parti Kongres Kebangsaan India (INC) gagal menggunakan kesempatan daripada kelemahan kerajaan India pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) India, Mei lalu.

“Ia gagal kerana masih tidak berubah dengan budaya, tingkah laku dan kaedah yang masih sama semasa kalah dalam PRU 2014.

“Kerana parti itu dijangka akan menang kali ini, berlaku perebutan untuk menjadi calon pilihan raya antara pemimpin kerana yang syok sendiri apabila parti pemerintah dilemparkan dengan pelbagai kecaman akibat kelemahan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam ucapan merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim; bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Rafiei Mustapha.

Johari berkata, nasib yang sama boleh menimpa UMNO sekiranya semua ahli dan pemimpinnya masih kekal dengan cara lama dan mengambil mudah setiap isu yang berbangkit.

“Sejauh mana kita telah berubah semasa ada kuasa dan ketika kita tidak lagi berkuasa,” soalnya.

Beliau menarik perhatian, masalah UMNO bukan pada pengikutnya tetapi pertelagahan para pemimpin yang tidak berkesudahan sejak dulu.

“Sebab itu, orang Melayu dulu mengarang peribahasa yang ditujukan khusus untuk kaum kita sendiri antaranya menang jadi arang, kalah jadi abu; menang sorak, kampung tergadai dan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

“Pengorbanan bermula daripada pemimpin dan kalau seseorang pemimpin itu mampu mengalah ketika situasi semasa berkehendakkan demikian, maka ia adalah pengorbanan yang paling tinggi nilainya,” ujarnya.

Tambahnya, kesabaran adalah kunci utama yang membolehkan UMNO kekal menjadi parti yang paling kuat selamanya. -UTUSAN ONLINE