Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana Najib ada peranan tertentu untuk dimainkannya, yang pemimpin lain dalam parti tidak berupaya menterjemahkan perkara tersebut khususnya ketika BN bergelar pembangkang.

Tegas, UMNO perlu menerima dan meraikan setiap sumbangan yang boleh dimainkan oleh sesiapa saja seperti kata pepatah, ‘yang capik mengukur kelapa, yang pekak memasang meriam dan yang kurap menebang buluh’.

“Tapi kita suka bergaduh sesama sendiri, UMNO ini bukan persoalan Najib atau Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) semata-mata. Ini tidak, sudah elok-elok kita pilih Presiden, ada pula yang suruh berhenti.

“Kita pula yang pergi pakai strategi musuh. Musuh tendang kita pergi terajang, musuh tikam kita bunuh, musuh matikan kita yang talkin kawan-kawan kita sendiri. Tak boleh (begitu), biarpun tempang atau cacat, ada peranannya.

“Dalam politik main dalam pasukan, kalau nak tunjuk hebat dan main solo boleh tapi kena bebas, datang pilihan raya kita jadi calon sendiri dan pilih diri kita sendiri, tapi kalau kita ahli parti, kenalah bermain cara berpasukan,” katanya.

Annuar berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengajak semua pemimpin UMNO untuk kembali komited memperkukuhkan parti dengan tampil membantu pucuk pimpinan bagi membolehkan kuasa yang hilang dapat dimiliki kembali.

“Maka saya seru, bukan sahaja Najib dan Zahid tetapi Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) kena bantu, Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) kena tolong dan KJ (Khairy Jamaluddin) tolong parti.

“Kalau ini dapat kita buat sama seperti Pas yang baru selesai muktamar yang menyaksikan ramai bertukar, tetapi mereka wala dan boleh bergerak ke depan, kita ini pula dah lama pemilihan tetapi masih lagi bercakap. Malulah sikit dengan Pas,” tegurnya. – UTUSAN ONLINE