Wakil Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, melalui muzakarah bersifat melangkaui fahaman politik itu, kedua-dua parti tersebut boleh menjalinkan kerjasama untuk berhadapan dengan kumpulan pendesak seperti kumpulan bekas penjawat awam, G25.

Beliau berkata, kewujudan kumpulan itu yang mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan hukuman terhadap perbuatan khalwat amat memerlukan kesatuan daripada UMNO dan Pas demi menjaga kesejahte­raan agama Islam di Malaysia.

“Realitinya sekarang Islam dan ins­titusi Islam di negara kita kian diasak oleh kumpulan-kumpulan seperti ini. Oleh itu UMNO dan Pas perlu bersatu demi mencari satu titik persamaan dan langkah terbaik adalah dengan mengadakan muzakarah khas melibatkan kedua-dua parti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyokong usul ucapan terima kasih atas ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sini hari ini.

Mohamad Fadzil merujuk tindakan G25 yang mencadangkan pemansuhan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan selepas mencadangkan Jakim dimansuhkan.

Mohamad Fadzil berkata, selain itu kerjasama antara kedua-dua parti juga dilihat mampu mengekang penularan fahaman puak pelampau Islam seperti kumpulan pengganas Negara Islam (IS) yang kini turut me­libatkan segelintir rakyat Malaysia.

“Di tempat saya sendiri iaitu di Pendang, pihak berkuasa berjaya menahan seorang bapa dan anak kerana terlibat dengan ke­giatan ini. Si anak itu dikatakan telah pun pergi ke Syria untuk berjuang dan kemudian kembali ke ta­nah air. Hasil maklumat akhirnya pihak berkuasa berjaya menahannya sebelum sempat ke Syria semula,” katanya.

Ujar beliau, usa­ha untuk mengekang penularan fahaman Syiah di negara ini secara agresif turut memerlukan kerjasama erat antara UMNO dan Pas.

“Ini soal akidah yang tidak boleh kita kompromi sama sekali. Saya difahamkan golongan muda semakin tertarik dengan fahaman Syiah yang jelas menyeleweng dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

“Antara tarikannya ialah nikah mutaah. Saya pernah didatangi oleh seorang anak muda yang membe­ritahu dengan bayaran RM80 dia telah bernikah secara mutaah dengan wanita berfahaman syiah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta pucuk pimpinan memper­kenalkan kad kemajuan bagi memastikan semua manifesto yang dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ditunaikan sebelum pilihan raya umum akan datang.