Kata bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill, “musuh kepada musuh saya adalah kawan saya”, ketika disoal mengapa sanggup bersekutu dengan Soviet Union sewaktu Perang Dunia Kedua.

Sedangkan blok Barat dengan Soviet Union mempunyai banyak perbezaan tetapi Churchill sedia memilih bersama dalam menyekat kemaraan Jerman pimpinan Hitler.

Natijahnya, formula itu berjaya. Mengambil konsep Churchill itu sebagai premis perbincangan, maka kerjasama dalam politik dalam melawan Pakatan Harapan (PH) memang terbuka luas.

Daripada UMNO dan Pas ‘tembak’ sesama sendiri, lebih baik mereka bekerjasama kerana menewaskan PH adalah matlamat bersama. Apakah kerjasama ini menggerunkan lawan? Nampaknya begitulah.

Macam-macam reaksi diberikan. Itu lumrah sama seperti ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula menjalin hubungan politik dengan DAP dan PH tidak lama dahulu.

Sememangnya UMNO dan Pas tiada pilihan jika mahu menumbangkan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Dua parti pembangkang terbesar itu harus bersama melawan musuh yang sama.

Kebetulan satu dikait parti Melayu, satu parti Islam. Lawan yang gentar mula menyindir dan tidak enak kedengaran politik kaum sedangkan apa bezanya ‘Bersatu-Parti Amanah Negara (Amanah)’ atau ‘PKR dan DAP’ yang kedua-duanya parti dengan falsafah hampir sama?

Justeru, selagi mana tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan, tidak ada sebab hendak dipersoalkan kecuali mereka yang runsing dan resah dengan kekuatan baru UMNO-Pas.

Menuju PRU-15, UMNO-Pas tentunya sedia menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain termasuk yang berbilang kaum. Sekarang ini, mereka hanya perlu tunjukkan kekuatan dengan menang sebanyak mungkin Pilihan Raya Kecil (PRK). Kalau UMNO-Pas kuat, maka ibarat semut dan gula. Mana ada gula, di situ semut datang. - UTUSAN ONLINE