Ikut kelaziman, patutnya orang UMNO berhak kecam, marah, kecewa, terkilan atau apa sahaja kata-kata seumpamanya untuk mengiringi khabar terbaharu politik itu.

Namun jika diteliti, rata-rata mereka nampaknya bagaikan tiada selera untuk ulas kehilangan enam Ahli Parlimen itu. Malah, yang komen selamat maju jaya pun ada seolah-olah senang hati betul.

Sebaliknya, yang berkocak adalah dalam komponen Pakatan Harapan (PH). Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang siap mengeluarkan kenyataan akhbar melahirkan kekecewaan kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima kemasukan Ahli Parlimen UMNO.

Malah, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu juga menyifatkan Perdana Menteri sebagai tidak berpegang janji selain apa yang berlaku ini satu pengkhianatan kepada rakyat.

Ada pemimpin sayap pemuda PKR juga melahirkan nada sama. Antaranya pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah. Tidak terkecuali pemimpin DAP, Hannah Yeoh yang mempersoalkan kemasukan enam individu berkenaan.

Tetapi kata-kata mereka tidak boleh lawan kerasnya ayat seorang pemimpin DAP, Ronnie Liu yang juga Setiausaha DAP Selangor. Memetik katanya, “ia benar-benar memalukan, menerima sampah seperti ini,”.

Bagi rakyat pula mereka akan tunggu dan lihat sahaja apa episod seterusnya. Bak kata Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, “mari kita lihat, siapa yang kena." - UTUSAN ONLINE