Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu selari dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bahawa semua responden dalam kes tersebut boleh menfailkan afidavit balas.

“Seperti yang disebut Lateefa, UMNO akan memfailkan afidavit balas di mahkamah, satu pasukan peguam sudah pun dilantik bagi tujuan tersebut.

“Saya sendiri selaku Setiusaha Agung sudah membaca afidavit yang difailkan oleh SPRM dan memahami asas-asas yang digunakan mereka. UMNO tidak mempunyai sebarang masalah untuk memfailkan afidavit balas, bahawa wang UMNO dalam akaun yang kini disita dan mahu dilucut hak itu adalah wang UMNO dari sumber sah dan bukan wang dari 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Annuar, kenyataan Lateefah itu juga adalah dialu-alukan selain memberi gambaran yang tepat dari segi proses undang-undang.

“Kenyataan itu penting dan wajar kerana terdapat beberapa pihak yang jelas tidak memahami prosedur undang-undang, malah cuba mempolitikkan isu berkenaan. Isu ini bukan isu politik, ia isu perundangan dan UMNO sedang, dan akan terus memberi kerjasama kepada SPRM serta menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau dalam pada itu sekali lagi menegaskan bahawa UMNO sebagai sebuah parti politik berdaftar tidak pernah berurusan dengan 1MDB, apatah lagi untuk menerima wang daripada syarikat tersebut secara yang salah di sisi undang-undang.

“Malah saperti rakyat Malaysia yang lain, kita menanti nanti proses undang-undang yang sedang berjalan berkaitan isu ini. Kita mengharapkan proses itu berjalan secara adil dan mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang serta pelaksanaan sistem kehakiman yang bebas dan berintegriti, semua pihak harus menghormati prinsip tersebut.

“Terpulanglah kepada mahkamah untuk memutuskan dan UMNO akan menyusuri kes ini secara tertib, berprinsip, jujur serta berdiri atas kebenaran, insya-Allah.- UTUSAN ONLINE