Mereka bertiga berjalan sambil menggalas beg pakaian, tercari-cari pintu masuk ke PWTC, satu pemandangan yang jarang dilihat semasa UMNO berada di puncak kuasa suatu ketika dulu.

Ketiga-tiga mereka datang secara sukarela untuk menyaksikan dan mendengar amanat pertama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku pemimpin tertinggi parti.

Ramai menjangkakan UMNO akan mati sendiri, ahli-ahlinya tidak akan peduli lagi dengan nasib parti, namun siapa sangka masih ada yang sayang kepada parti seperti tiga sahabat dari Melaka itu dan ramai lagi ahli yang berhimpun di PWTC.

UMNO kini bukan lagi lubuk kemewahan, bukan lagi parti elitis atau parti kaya raya seperti zaman kegemilangan kerana pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 ini dapat dilihat haluannya kembali seperti zaman-zaman awal penubuhannya.

Tiada lagi bas, tiada lagi duit poket, hanya semangat yang tinggi ahli untuk membuatkan UMNO bangkit kembali.

Malah tiada lagi seruan wala membuta tuli kepada kepimpinan tertinggi sehingga yang batil dikatakan benar.

Ahli-ahli UMNO telah lama sedar mengenai hakikat perjuangan parti malah mereka yang paling awal berkorban melupakan soal kemewahan kerana percayakan perjuangan.

Tetapi timbul satu persoalan, adakah pemimpin UMNO benar-benar bersedia melupakan kemewahan semasa berkuasa dan kembali menjadi pejuang marhaen?

Ramai yang masih ragu-ragu namun The New Malay Renaissance (Era Baharu Kebangkitan Melayu) yang disebutkan oleh Mohamad ketika menyampaikan amanat semalam sudah cukup jelas untuk semua pihak dalam UMNO kembali menginsafi perjuangan sebenar parti.

Tiada lagi wang, tiada lagi kuasa, UMNO bukan gerobok emas, yang ada cuma semangat untuk bangkit selaku pembangkang dihormati kawan dan lawan. - UTUSAN ONLINE