SUDAH banyak cakap-cakap mengenai Pengerusi gabungan pembangkang PKR yang dikuasai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewajarnya memberi penghormatan dengan melawat pusara bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh. 

Dengan Dr. Mahathir kini bersekongkol dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, eloklah sekiranya mendiang Karpal mendapat penghormatan yang sama. 

Dr. Mahathir dijangka tidak menghadapi masalah untuk mendapat restu keluarga mendiang Karpal kerana beliau ketika ini boleh berkongsi pentas dengan anaknya iaitu Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh.

Pada  5 Mei lalu, Dr. Mahathir telah pun membuat kejutan apabila menziarahi pusara bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang didakwanya sebagai pernah menjadi penasihat agama peribadi beliau.

Begitupun, hasratnya untuk menziarahi pusara  bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak kesampaian kerana keluarga Allahyarham telah menutup kawasan perkuburan berkenaan bagi menghalang ia daripada dipolitikkan.

Berdasarkan apa dinyatakan oleh salah seorang anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz, Nik Adli yang mewakili ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, keluarganya tidak menghalang sesiapa menziarahi pusara arwah bapanya namun apa yang dipersoalkan adalah mengapa ketika tempoh kempen pilihan raya ini.

“Cuma kita lihat perkara ini ada kepentingan politik. Jadi kita nak elak berlaku pertembungan dalam keluarga kami. Kalau nak datang ziarah, datanglah selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” kata Nik Adli yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Isu tersebut masih diperkatakan di akar umbi menjelang hari mengundi esok. Untuk rekod Dr. Mahathir kerap mengeluarkan kenyataan yang menghina Nik Aziz dan Pas selama ini. 

Rata-rata reaksi dalam media sosial tampak negatif dan ramai yang sinikal dengan tindakan Dr. Mahathir mempolitikkan amalan menziarahi pusara tokoh-tokoh yang sudah tiada lagi. 

Beliau dikatakan tidak pernah menziarahi pusara negarawan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan dan Tun Hussein Onn. 

“Kalau kubur Presiden UMNO seperti Allahyarham Tun Hussein pun tidak pernah ziarah, kenapa sekarang beria-ia sangat,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu, banyak kecewaan dilahirkan terhadap tindakan siri ‘ziarah’ Dr. Mahathir berkenaan yang dilihat begitu terdesak, malahan turut dijemput pula wartawan untuk membuat liputan.

Jadi marilah kita tunggu saat beliau ke pusara mendiang Karpal pula. Maka barulah lengkap siri ziarah tersebut - satu lagi cerminan politik hodoh gabungan parti pembangkang di negara ini. - UTUSAN ONLINE