Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Pendidikan Pas, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, mereka juga tidak wajar hangat-hangat tahi ayam hanya apabila diasak oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan itu.

Menurutnya, rakyat ingin melihat ketegasan kerajaan PH menunaikan komitmen mereka menerusi keputusan Kementerian Pendidikan dengan pengenalan dasar tersebut.

“Pas menghargai pihak berkenaan yang berusaha mengangkat martabat kedudukan bahasa Melayu dan tulisan jawi kerana inilah perkara yang sering dibangkitkan oleh Presiden Pas saban tahun melalui ucapan dasar muktamar.

“Pengenalan penulisan jawi dan seni khat sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu kerana bahasa Melayu bertulisan jawi merupakan bahasa rasmi negara suatu ketika dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat mengulas bantahan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mengenai dasar tersebut.

Justeru, kata Ahmad Fakhruddin, adalah sesuatu yang pelik apabila ada pihak-pihak tertentu yang membantah pengenalan tulisan jawi dan khat, sedangkan bahasa dan tulisan berkenaan mampu menjadi alat menyatukan kaum dalam negara berbilang bangsa.

“Langkah berani Kementerian Pendidikan memperkenalkan dasar penulisan jawi dan tulisan khat di semua sekolah menjadi kayu ukur kekuatan pihak kerajaan mempertahankan dasar tulisan jawi di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Semua pihak sewajarnya melihat pengenalan dasar tulisan jawi dan khat ini dari sudut yang positif sebagai satu usaha berterusan untuk menyemarakan penggunaan tulisan jawi dan pengenalan instrumen seni penulisan dalam kalangan murid-murid,” katanya. -UTUSAN ONLINE