Katanya, beliau memberitahu pernah mempelajari tulisan Jawi sewaktu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969, namun perkara itu tidak pernah mengurangkan identiti Cina dalam dirinya dan perkara tersebut telah disalahtafsirkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Sama seperti orang Melayu yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, ia tidak menjadikan identiti keMelayuan mereka kurang di negara ini.

“Begitu juga dengan orang Cina yang tahu tulisan Jawi tidak menjadikan identiti mereka sebagai kaum Cina berkurangan. Mungkin pengambilalihan tambahan bahasa lain akan menjadikan mereka sebagai rakyat Malaysia yang lebih baik,” katanya menerusi catatan dalam laman blog beliau blog.limkitsiang.com. di sini hari ini.

Sebelum ini, Kit Siang menerusi laman blognya juga memberitahu beliau sendiri pernah mempelajari Jawi namun perkara itu tidak mengurangkan identiti Cina dalam dirinya.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum, budaya, agama serta pelbagai bahasa.

“Jadi kita perlu memanfaatkan keunikan tersebut untuk membina bangsa Malaysia yang lebih baik.

“Kita juga perlu berhati-hati agar tidak masuk ke perangkap pihak-pihak yang cuba untuk membangkitkan rasa curiga antara agama, ketidakpercayaan dan kebencian dalam masyarakat untuk mendapatkan semula kuasa politik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE