Ia apabila tular dalam media sosial tangkap layar berlaku interaksi Haziq yang berbalas ciapan di Twitter antaranya bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli malah dengan Mohamed Azmin sendiri.

Untuk rekod, selepas penyebaran video berkenaan, Mohamed Azmin kemudiannya mengakui hanya mengenali Haziq daripada jauh sahaja dan tidak rapat manakala Rafizi pula berkata Haziq tidak pernah bersamanya dan sepanjang masa rapat dengan orang lain.

Namun begitu, hasil penelitian berdasarkan beberapa tangkap layar yang tular itu, Haziq mula berinteraksi dengan ketiga-tiga pemimpin tersebut sejak tahun 2011.

Malah bersandarkan juga gaya bahasa interaksi tersebut, Haziq seolah-olah mempunyai hubungan yang baik dengan Anwar, Rafizi serta Mohamed Azmin malah mereka juga seperti sudah saling mengenali.

Sementara itu, berdasarkan pautan yang diberikan, beberapa ciapan di Twitter yang tular tersebut masih lagi ada namun begitu akaun Twitter yang didakwa milik Haziq sudah tidak lagi wujud.- UTUSAN ONLINE