Menurut beliau, program berkenaan dapat membantu murid mendapat makanan yang selamat serta mengandungi nutrisi tinggi dan bersih.

Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaannya perlu mendapat pemantauan Kementerian Kesihatan di setiap negeri.

“Ia tidak boleh dikendalikan di peringkat Pusat sahaja, tetapi mesti dilakukan di peringkat negeri melalui sebuah pasukan atau jawatankuasa khas bagi menilai kebersihan serta sumber bahan makanan berkenaan.

"Kita tidak mahu perkara seperti keracunan makanan dan makanan tidak bernutrisi dihidangkan kepada pelajar berulang,” tegasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Murugiah, pelaksanaan itu penting berikutan terdapat beberapa kes syarikat atau pihak pembekal makanan melakukan kecuaian dari segi kebersihan hingga berlaku keracunan makanan.

Jelas beliau, sebagai rekod, sejumlah 213 kejadian keracunan makanan dilaporkan membabitkan 68 kejadian di sekolah dibawah seliaan Kementerian Pendidikan, tahun ini.

"Sama ada pembekal makanan ataupun pengendali kantin, mana-mana pihak yang terlibat harus bertanggungjawab,” katanya.

Tambahnya, kajian menyeluruh mengenai program ini perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakannya berikutan keadaan ekonomi yang terkini.

“Dengan kekangan hutang negara yang meningkat RM60 bilion adakah program ini mampu dijalankan?

“Bolehkah kerajaan memberi jaminan bajet untuk program ini mampu disediakan dan tidak dihentikan separuh jalan,” ujarnya.

Murugiah berkata, awal tahun ini Kementerian Pendidikan  juga telah menamatkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah di seluruh negara berikutan penukaran syif daripada tiga kepada dua syif setiap hari.

Sehubungan itu beliau berharap program ini perlu dikaji secara menyeluruh terlebih dahulu kerana melibatkan bajet yang tinggi iaitu mencecah RM1.985 bilion sepanjang 210 hari persekolahan.

"Mungkin juga, program ini tidak melibatkan pelajar yang mempunyai ibubapa yang berkemampuan, malah hanya melibatkan pelajar yang kurang kemampuan sahaja, " katanya.-UTUSAN ONLINE