Ketua Penerangannya, Esa Hamid berkata, program pertama dimulakan dengan Konvoi Merdeka pada petang 30 Ogos, keceriaan kibar Jalur Gemilang pada 31 Ogos dan diikuti dengan pertandingan memancing pada 7 September sebagai acara kemuncak.

Katanya, selain memancing turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak lapan tahun ke bawah, Beyblade bawah 12 tahun dan membuat kuih lapis Jalur Gemilang bagi golongan wanita.

"Sambutan tersebut berjaya menarik penyertaan penduduk Kampung Parit Kudus yang memberikan kerjasama menghias kediaman mereka dengan Jalur Gemilang dan sebagainya.

"Lebih 15 tahun program ini dijalankan di kampung kami bagi menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada negara ini tanpa mengira soal kewangan, masa dan tenaga,” katanya selepas majlis penyampaian di Dewan Serbaguna Tuan Haji Othman Parit Kudus di sini semalam.

Majlis penyampaian kepada pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Nasir Samaon yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Bagi acara kibar Jalur Gemilang dimenangi kediaman Noh Idris, diikuti kedua, Lamin Rawyah dan ketiga Sendor Mean.

Sementara bagi pertandingan memancing dimenangi Wahab dengan ikat seberat 343 gram diikuti Abu Hasan dengan ikan (317 gram) dan ketiga Amae Lazif (265 gram).

“Bagi Beyblade dimenangi oleh Danish Syabil, Mohd. Hafiy Zakwan kedua dan ketiga, Wafi Gusyairi, sementara mewarna dimenangi Nur Raihan memenangi tempat pertama, Nur Raudah (kedua) dan Adlina Farisha (ketiga),” ujarnya.

Katanya, program itu juga menarik penyertaan generasi muda bagi memberikan kesedaran dan memumpuk semangat patriotik dalam kalangan mereka yang merupakan pewaris negara pada masa depan. - UTUSAN ONLINE