Ketuanya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, paling ketara apabila Thomas melibatkan diri dengan perkara-perkara yang diluar tugas dan tanggungjawab beliau kepada negara seperti mengarahkan peguam Syazlin Mansor menarik diri dalam kes Adib dan campur tangan dalam menentukan keputusan akhir inkues tersebut.

Malah beliau berkata, dari awal lagi tindak tanduk Thomas itu telah menyebelahi pihak tertentu apabila langkah mulanya selepas dilantik ke jawatan itu ialah menarik balik pertuduhan bagi kes-kes mahkamah yang sedang berjalan melibatkan individu dari Pakatan Harapan.

“Sebagai contoh kes melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ditarik balik begitu sahaja meskipun pihak pendakwaan sebelum itu telahpun memanggil hampir kesemua saksi.

“Dari aspek tanggungjawab Peguam Negara sebagai penasihat kepada kerajaan, Thomas juga gagal memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Yang di-Ppertuan Agong dan Majlis Raja-raja berkaitan isu Statute Rom, satu dasar luar kerajaan yang melibatkan kepentingan Raja-raja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar Tommy Thomas segera meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berasaskan 10 sebab yang jelas mengabaikan prinsip ‘rule of laws’.

Nik Saiful Adli berkata, peranan paling penting Peguam Negara ialah menjalankan fungsinya melalui prosiding di mahkamah dan tugas-tugas menasihati kerajaan.

“Melihat kepada asas tanggungjawab utama Peguam Negara ini, saya percaya ianya suatu kegagalan yang amat dahsyat bahkan sesuai disebut sebagai tragedi kepada prinsip ‘Rule of Law’ yang menjadi buat mulut pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini.

“Menyedari kegagalan sebegini besar, sepatutnya Tommy Thomas beralih untuk berada di atas pentas politik yang sebenar, bukannya berada di posisi sekarang.

“Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO menyokong sepenuhnya saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Thomas meletakkan jawatan ataupun dipecat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir,” Katanya. - UTUSAN ONLINE