Muhyiddin mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri itu bising mengenainya, sedangkan sepanjang 60 tahun pentadbiran Barisan Nasional (BN) tiada langkah atau usaha sistematik menyelesaikan isu tol untuk mengurangkan beban  rakyat.

Beberapa kali meneliti laporan mengenainya untuk memastikan tidak silap membaca. Benar ke Muhyiddin berkata begitu? Adakah Muhyiddin sedar apa yang diperkatakan itu?

Ini kerana, untuk rekod, Muhyiddin mula menjadi Ahli Parlimen dan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) sejak 1978 lagi.

Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet pada 2015 sebelum dipecat daripada UMNO pada tahun 2016. Mengambil kira perkara itu, Muhyiddin sebenarnya telah berada dalam kerajaan tadbiran BN selama 37 tahun.

Maksudnya daripada 60 tahun yang disebut Muhyiddin itu, beliau telah berkhidmat dan menjadi antara komponen penting kerajaan selama 37 tahun.

Daripada 37 tahun itu juga, pelbagai jawatan kementerian yang berjaya disandang oleh Muhyiddin dengan yang tertinggi ialah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Jawatan itu disandang beliau selama enam tahun antara 2009 hingga 2015.

Jadi, persoalannya, sepanjang tempoh 37 tahun dalam pentadbiran BN sehingga menjadi orang nombor dua dalam kerajaan, mengapa Muhyiddin tidak melaksanakan seperti apa mahu dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini?

Adakah Muhyiddin ketika menempelak kritikan Najib mengenai isu tol itu, beliau turut sama menyindir dirinya sendiri? - UTUSAN ONLINE