Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda penyatuan ummah antara kedua-dua parti itu akan merangkumi semua pihak tanpa mengira fahaman politik parti masing-masing.

Kata beliau, malah semua orang Melayu dan kaum-kaum lain daripada pelbagai lapisan dijemput dan dialu-alukan untuk menghadiri program itu sebagai menghargai sokongan mereka terhadap usaha penyatuan ummah ini.

“Selain ketua-ketua bahagian UMNO dan Yang Dipertua kawasan Pas di seluruh negara, kita jemput semua pihak (lapisan rakyat) hadir pada tarikh itu (14 September).

“Agenda penyatuan ummah ini memberi keadilan kepada semua sama sekali dan juga tidak meninggalkan mana-mana kaum lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program sarapan bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar di Dewan RC di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Zahid berada di negeri ini untuk lawatan kerja selama dua hari sejak semalam.

Antara pengisiannya adalah melawat Pusat Tahfiz Kampung Hutan Palas, Kodiang; majlis ramah mesra bersama kepimpinan UMNO Bahagian Jerlun dan UMNO Bahagian Jerai; merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Kuala Kedah dan perjumpaan bersama cybertrooper Penerangan UMNO Kedah.

Dalam pada itu, ditanya tentang dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa UMNO melakukan gimik apabila berhasrat melancarkan tabung mengumpul dana dalam masa terdekat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ahmad Zahid berkata, PH juga melakukan perkara sama dengan mewujudkan Tabung Harapan sebelum ini. - UTUSAN ONLINE