Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, kenyataan itu merupakan satu gurauan antara TMJ dengan para penyokong JDT secara sepintas lalu yang tidak perlu diambil sebagai sesuatu yang serius oleh para pemimpin PH.

"Sama situasi apabila Perdana Menteri pada satu sidang akhbar tidak lama dahulu bahawa Menteri Besar Johor, Osman Sapian menghadap Duli Yang Maha Mulia Mahathir Mohamad. Kenyataan itu orang lihat sebagai satu bentuk gurauan.

"Beza kenyataan TMJ dengan Dr. Mahathir ialah, Dr. Mahathir membuat kenyataan berbentuk gurauan itu di atas pentas rasmi, pada sidang akhbar. Sedangkan TMJ hanya sekadar sepintas lalu, dari dalam kereta dan di atas jalan raya.

"Jadi tidak perlulah pada pemimpin PH mengambil perkara ini dengan begitu serius," katanya ketika ditemui selepas sesi Sembang Online, di Unit Media Baharu Utusan di sini hari ini.

Video Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan `daripada tukar Mora baik tukar perdana menteri' menjadi viral dan mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin-pemimpin PH.

Ketua Angkatan Muda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan sahaja mengkritik, bahkan menyindir pencapaian Tunku Ismail sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam hantaran dalam laman Facebooknya.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menegur Tunku Ismail yang disifatkan terlalu banyak bercakap politik.

Mohd. Razlan, berkata, para pemimpin PH tidak perlu marah-marah kerana kenyataan itu hanya satu gurauan antara TMJ dengan para penyokong JDT.

"Ini sama sahaja dengan gurauan Dr. Mahathir dengan para wartawan sambil menggelar dirinya Duli Yang Maha Mulia Mahathir Mohamad," katanya. - UTUSAN ONLINE