Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada perubahan perlu dilakukan memandangkan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik.

"Saya lihat pentadbiran kerajaan negeri cukup kemas, walaupun Paul Yong Choo Kiong mengambil keputusan untuk bercuti, namun kita tidak perlu membuat apa-apa perubahan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Faizal menghadiri program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam Negeri Perak sempena lawatan kerja Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Perak.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Faizal memberitahu, beliau telah mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, tiada perbincangan mengenai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak atau exco dalam pertemuan itu.

"Angkat sumpah ini adalah di luar kawalan saya sebaliknya ia merupakan atas titah perkenan baginda," katanya.-UTUSAN ONLINE