Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti tidak menggalakkan mereka berbuat demikian tetapi UMNO lebih bebas dan terbuka daripada parti lain.

Kata beliau, jawatankuasa disiplin mungkin akan memanggil ahli-ahli yang terlalu lantang tetapi tiada lagi tindakan sedemikian buat masa ini.

“Ahli kita tidak ditutup mulut untuk bercakap. Sampai ke tahap tertentu, mungkin dipanggil ke jawatankuasa disiplin tapi sehingga ini rasanya tiada. Perkara biasa dalam UMNO.

“Kita tak menggalakkan tapi UMNO ini parti yang lebih bebas daripada parti lain. Parti terbuka dan ahli bebas bercakap,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani dan Timbalan Yang Dipertua Pas Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mempertikai perlantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN). - UTUSAN ONLINE