Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan menteri-menteri lain seharusnya fikir dengan teliti sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana setiap yang dikatakan mereka akan dinilai pelabur asing yang sedang memerhati tindak-tanduk pentadbiran Malaysia baharu.

“Terlalu banyak U-turn membuatkan pelabur asing tidak yakin untuk melabur di negara kita dan mereka takut dengan ketidaktentuan dasar dan polisi kita. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi kita yang sangat membimbangkan dengan pelaburan saham yang jatuh, pelabur lari dan sebagainya.

“Saya sarankan Guan Eng untuk meletakkan jawatan jika beliau tidak tahu menguruskan ekonomi negara kerana sekarang keadaan semakin buruk. Ini akan menjejaskan hidup rakyat apabila ekonomi teruk, kos sara hidup meningkat dan mereka semakin tertekan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE