Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama politik itu dijalankan di atas kerangka taawun siyasi.

"Pas akan mewakili Gagasan Sejahtera sama juga seperti UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) yang masih ada.

"Berkenaan piagam kerjasama Pas-UMNO, nanti bila sampai masanya kita umumkan. Piagam sudah ada. Nanti lahir anak baru beri nama," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Presiden Berjasa, Abdul Kadir Mamat,

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan, Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera hari ini turut bersetuju mengukuhkan kerjasama politik dalam kalangan parti komponen Gagasan Sejahtera dalam aspek visi, misi dan organisasi.

Selain itu, tambahnya, mesyuarat bersetuju untuk menumpukan kepada agenda untuk menyelamatkan negara bermasyarakat majmuk dan menyelesaikan masalah rakyat dengan penglibatan semua pihak.

Beliau menambah, mesyuarat juga bersetuju menumpukan kepada usaha untuk menarik sokongan anak muda dan segenap lapisan masyarakat terhadap visi yang diperjuangkan oleh Gagasan Sejahtera. - UTUSAN ONLINE