Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau sangat terbuka dengan sebarang keputusan yang dimuktamadkan kepimpinan di peringkat Pusat dan akan melaksanakan apa jua seperti diarahkan.

"Perkara ini melibatkan keputusan dasar, dan wajar diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Pas.

"Saya yang diamanahkan sebagai mengetuai kerajaan di peringkat negeri Terengganu sangat terbuka dengan sebarang keputusan pimpinan parti di Pusat dan akan melaksanakan apa jua arahan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mewujudkan kerajaan Penyatuan Ummah di empat buah negeri yang kini ditadbir Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Mohamad dilaporkan berkata, hasrat itu telah dibincangkan dengan Pas pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti, baru-baru ini dan ia masih di peringkat cadangan sebelum tindakan lanjut.

Selain Terengganu, negeri yang dikuasai Pas adalah Kelantan manakala BN pula di Pahang dan Perlis selain perbezaan kecil kerusi antara kedua parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak serta Kedah. - UTUSAN ONLINE