Itu bukan satu ikrar mahupun janji tetapi Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad mahu ia menjadi penanda aras yang dituntut oleh orang Melayu kepada UMNO supaya berubah dan istiqamah. 

Beliau yang pertama kali berucap sebagai Ketua pergerakan itu pada Perhimpunan Agung UMNO mahu ahli-ahli melihat perhimpunan kali ini sebagai kritikal iaitu penentu hidup dan mati perjuangan parti. 

“Perhimpunan kali ini bukan gelanggang untuk kita mencurah geram, amarah atau menuding jari mencari salah, ia sepatutnya menjadi wahana untuk kita bermuhasabah dan menilai diri. 

“Kita cari titik persamaan bukan garis perbezaan, kita cari kesatuan bukan perpecahan, kita cari kekuatan bukan kelemahan untuk bergerak ke hadapan,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2018 di sini, hari ini. 

Dalam usaha menyeru ahli-ahli UMNO bangkit memperbaiki kelemahan, Noraini menyeru parti itu melakukan ‘overhaul’ (baik pulih) secara total supaya hasilnya jujur. 

Ini kerana beliau mempunyai keyakinan bahawa UMNO sukar dihancurkan dari luar tetapi mudah dipecahkan dari dalam dan ada usaha berterusan untuk memecahbelahkan parti dengan cara sedemikian.

Oleh itu, tegas Noraini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus menjadi pembangkang berwibawa dengan mendesak kerajaan Pakatan Harapan memikul tanggungjawab terhadap setiap janji mereka. 

“Tetapi jangan sampai kita diprovokasi sehingga nasib, maruah bangsa dan agama dibangsatkan, kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan tindakan sebegitu.

“Walau bagaimanapun, Wanita tetap memohon kemaafan kepada seluruh bangsa Melayu dan bumiputera kerana gagal mempertahankan mandat pada pilihan raya umum lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE