Daripada jumlah tersebut, 14 muka baharu membabitkan kawasan Parlimen manakala 43 lagi bagi kerusi DUN dengan calon termuda ialah seorang arkitek, Lee Yee Yuan, 28, yang dipertaruhkan untuk merampas DUN Sekinchan daripada DAP.

Tidak hanya serius melakukan perubahan dengan menampilkan ramai muka baharu, BN Selangor juga bertindak menggugurkan Datuk Amiruddin Setro yang me­rupakan penyandang kerusi DUN Jeram dan menggantikan bekas guru itu dengan seorang lagi pendidik iaitu Zahar Azlan Ariffin.

Pada masa sama, Budiman Mohd. Zohdi yang sebelum ini disebut-sebut sebagai salah seorang calon Menteri Besar jika BN kembali memerintah Selangor tidak bertanding kerusi DUN, sebaliknya hanya mempertahankan Parlimen Sungai Besar yang dimenangi dalam pilihan raya kecil lalu.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, senarai barisan calon BN Selangor dipertaruhkan sekarang adalah yang terbaik, hasil gabungan profesional, ahli perniagaan, ahli akademik dan penjawat awam bagi melengkapi kombinasi tokoh politik sedia ada di Selangor.

“Saya lihat, saya yakin minimum 30 kerusi (DUN) kita boleh menang, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman dan penyerahan watikah ketika ditanya sasaran BN Selangor jika diukur kepada barisan calon yang dikemukakan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, seluruh barisan kepemimpinan BN Selangor serta bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Mengulas lanjut, Noh juga mengakui faktor pertembungan tiga penjuru sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada BN tetapi gerak kerja parti dibuat berdasarkan pertembungan dua penjuru kerana BN mahu kemenangan dengan kekuatan sendiri dan bukan disebabkan kelemahan lawan.

“Kekuatan BN di kerusi ter­tentu rata-rata adalah 40 peratus dan kita akui jika berlaku pertembungan tiga penjuru, ada ke­lebihan berdasarkan pengalaman lalu seperti di DUN Kota Damansara serta Semenyih tetapi kita tidak bergantung kepada kelemahan lawan,” katanya.

Kepada soalan mengapa Amiruddin digugurkan pula, beliau berkata, bekas wakil rakyat Je­ram itu sudah tiga penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sudah tiba masanya muka baharu diberi peluang bagi memberi kesegaran dan meng­anggap ia proses biasa dalam parti.