Najib secara sinis berkata, jika pihak berkenaan tidak suka nama ADAM50, dana tersebut boleh jenamakan semula kepada GuanEng50, Maszlee50 ke atau MatSabu50 asalkan ianya tidak dimansuhkan.

Menurut Najib, beliau mewujudkan ADAM50 yang merupakan dana pertama dalam sejarah negara bertujuan untuk untuk menggalakkan minda rakyat terutama ibu bapa muda supaya menyimpan untuk masa depan. 

Katanya, di bawah ADAM50, bayi yang lahir mulai 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan menerima dana tabungan permulaan RM200 secara percuma menerusi unit Amanah Saham Bumiputera bagi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (kini dikenali sebagai Amanah Saham Malaysia 3 ) untuk bukan Bumiputera.

Simpanan tersebut yang hanya boleh dikeluarkan selepas anak itu mencapai umur 18 tahun memberi manfaat kepada anak berkenaan pada usia tersebut.

"Walaupun ibu bapa tidak tambah langsung wang permulaan RM200 ini akan menjadi sekitar RM587, tapi kalau tambah RM10 sebulan ia akan meningkat kepada RM4,000.

"Manakala RM50 sebulan akan jadi RM20,000 dan kalau RM100 akan jadi RM40,000 apabila umur anak ini cukup 18 tahun. Satu lagi bantuan dan insentif yang baik untuk rakyat telah dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan," kata Najib dalam hantara di Facebook.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Aziz hari ini berkata,  ADAM50 dimansuh mulai 31 Disember 2018 selepas setahun ia dibuka kepada semua bayi yang lahir pada 2018.

Menurut Dr. Zati, berdasarkan maklum balas, hanya 25 peratus bayi yang dilahirkan pada tahun ini mendaftar bagi program itu. Tambah beliau, peruntukkan kerajaan berjumlah RM10 juta untuk program berkenaan juga sudah digunakan sepenuhnya.

ADAM50 diumumkan kerajaan sebelum ini di bawah Belanjawan 2018 khusus untuk setiap anak Malaysia yang lahir antara 1 Januari 2018 sehingga 2022 dengan dana tabungan permulaan sebanyak RM200.-UTUSAN ONLINE