Maka dalam seminggu ni bila timbul isu ketulenan kelayakan akademik pemimpin kerajaan, kebetulan pula tidak terhenti dengan seorang, ada saja nama yang timbul.

Nak jadi cerita selepas akademik, kelayakan profesional pula jadi isu. Maka bertambahlah panas dan meriah dalam media sosial. Seorang artis cantik pun sempat bergurau pasal ‘ijazah ori’.

Tambah hangat, bila diintai media sosial pemimpin, ada pula yang buat perisytiharan siap-siap. Seronok pula jadinya.

Antaranya Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh tunjuk bukti universiti lamanya walaupun kelayakan akademik beliau tidak pernah pun diragui.

Berbeza dengan Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang menutup kesangsian terhadapnya dengan berkongsi pautan portal berita Northwood University, Michigan mengenai kisahnya yang diterbitkan tahun lalu selepas dilantik Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Paling jadi perhatian tentunya Datuk Seri Najib Tun Razak apabila siap selongkar balik gambar majlis konvokesyen Universiti Nottingham puluhan tahun lalu bagi menghapuskan keraguan ke atas beliau.

Macam inilah, disebabkan kesahihan kelayakan akademik sudah jadi perhatian kenapa tidak jadikan perisytiharan perkara itu wajib ke atas semua wakil rakyat seperti mana perisytiharan harta.

Kan senang macam tu, tak timbullah kata media petik sumber tidak sahih. Lagi pun biar berterus terang. Integriti tu.

Boleh letak di bawah seliaan Dr. Maszlee Malik. Agensi kementeriannya tahu mana universiti yang ada akreditasi atau tidak. Bolehlah beliau atasi isu ‘kilang ijazah’ yang sekarang macam acuh tak acuh saja. - UTUSAN ONLINE