Perkara itu menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Saarani Mohamad dapat dilihat apabila kes melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak didakwa serta digugurkan kerana kuasa pendakwaan terletak di tangan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Malah, Saarani menegaskan kedaulatan undang-undang semakin dipandang remeh oleh kerajaan PH apabila Peguam Negara seolah-olah cuba mencampuri dakwaan cubaan merogol melibatkan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong.

“Dari awal lagi rakyat mempertikaikan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara kerana tidak menepati janji manifesto PH dalam pilihan raya lepas.

“Tidak manis kalau ada campur tangan mana-mana parti politik untuk mempengaruhi Peguam Negara supaya menarik balik dakwaan terhadap Paul.

“Biarlah mahkamah yang memutuskan sama ada tertuduh bersalah ataupun tidak. Kita percaya kedaulatan undang-undang tidak boleh dicampur adukkan dengan tangan politik,” katanya memetik laporan portal UMNO Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berharap yang kerajaan PH tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri sebaliknya terus menegakkan ‘rule of law’ seperti dijanjikan mereka kepada rakyat dalam pilihan raya lepas.

Katanya, walaupun pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara dilihat bercanggah dengan janji untuk menegakkan ‘rule of law’, usaha untuk mendaulatkan undang-undang perlu diteruskan kerajaan PH sejajar dengan harapan rakyat yang mahu melihat keadilan ditegakkan. - UTUSAN ONLINE