Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, pengamal undang-undang itu perlu berundur segera kerana perakuan Statut Rom yang ditandatangani kerajaan secara diam-diam bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Statut Rom merupakan perkara yang besar dan sepatutnya ada kajian daripada pihak Peguam Negara sebagai penasihat kerajaan jadi, sepatutnya dia berilah nasihat yang betul dan baik.

“Memang patut letak jawatan sebab beliau (Tommy) gagal melaksanakan tugas sebagai penasihat kepada kerajaan dan kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Marang di Dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali; Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan itu, Mohd. Nor Hamzah; Naib Yang Dipertua Pas, Ariffin Deraman, Ketua Dewan Pemudanya, Yusuf Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimatnya, Zarani Othman.

Semalam, Malaysia memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja.

Katanya, bantahan itu berlaku kerana mereka tidak memahami isi kandungan statut berkenaan sehingga bertindak memburukkan kerajaan dan diri beliau.

Dalam pada itu, Idris pelik dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang tergopoh-gopoh dalam hal Statut Rom sedangkan perkara tersebut memerlukan kajian untuk mengetahui keberkesanannya. - UTUSAN ONLINE