Sirul Azhar Umar

Peguam yang mewakili Sirul, Hasnal Redzua Merican berkata, Sirul tidak pernah bersetuju dengan tindakan keluarganya untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar; bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan kes tersebut.

Menurut Hasnal Redzua, ketika ini Sirul sedang melalui proses undang-undang di Australia bagi mendapatkan kebenaran untuk terus tinggal di negara itu dan tidak kembali ke Malaysia agar hukuman mati tidak dijalankan terhadapnya.

“Sirul ada menghubungi saya malam semalam dan awal pagi ini. Dia sangat kecewa dengan tindak tanduk segelintir orang yang cuba mengheret kes ini ke kancah politik. Dia tidak tahu tentang pertemuan ibu dan bapa saudaranya dengan Mahfuz dan Dr. Mahathir. Dia tidak setuju dan gembira dengan berita ini. Ibunya tidak pernah memberitahu tentang pertemuan semalam.

“Sirul bimbang dengan kenyataan terbuka sejak akhir-akhir ini oleh beberapa pemimpin politik akan menjejaskan peluang­nya untuk terus menetap di Australia, peguam-peguam di Australia juga telah menasihatkan beberapa kali agar perkara sebegini dapat dielakkan demi menjaga kepentingan kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, ibu Sirul, Piah Samat dan bapa saudaranya mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli politik ini di Yayasan Perdana, Putrajaya.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hu­­kuman mati ke atas Sirul dan Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Wanita Mongolia kelahiran Ulan Bator itu menemui ajal sama ada dibunuh dengan bahan peledak C4 ataupun dibunuh terlebih dahulu sebelum jasadnya diledakkan dengan bahan berkenaan di kawasan belukar berhampiran Empangan Tasik Subang, dekat Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Sirul yang ditahan pihak berkuasa Australia di sebuah pusat tahanan Imigresen di Brisbane sejak 20 Januari selepas Interpol mengeluarkan notis merah berhubung kes itu kini dipindahkan ke pusat tahanan Villawood di pinggir bandar barat Sydney.

Tambah Hasnal Redzua, Sirul turut merayu kepada masyarakat umum khususnya ahli politik agar berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang berkaitan dengan dirinya atau kes tersebut sebaliknya membiarkan dia bersama peguam-peguam untuk mengendalikan isu tersebut.

“Saya tahu ada pihak yang mengambil berat, tapi ada juga cuba mengambil kesempatan dalam perkara ini. Sirul mohon kepada semua orang agar berhenti mengeluarkan apa-apa juga kenyataan selepas ini. Biar kami dan peguam di Australia yang mengendalikan kes ini,” ujarnya.