Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas mengalu-alukan hasrat Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali gus memberi jaminan akan menjawab setiap perkara yang akan dibongkarkan Anwar.

“Sila, biar dia dedah dululah... baru boleh jawab. Dia tak dedah kita tak boleh nak jawab.

“Kita bersedia, memang kita nak tahu apa kita punya kelemahan... kita terbuka,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Meraikan Rombongan Kerajaan Negeri Kelantan ke Terengganu di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan kedua-dua negeri.

Baru-baru ini, Anwar memberi gambaran akan terus membongkar penipuan yang didakwa dilakukan pemimpin Pas berhubung isu pembayaran lebih RM1 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Bagaimanapun, menurut Anwar, perkara itu akan dibuat secara perlahan-lahan. - UTUSAN ONLINE