Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap kali berlangsung Persidangan Dewan Rakyat, akan ada isu-isu hangat dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Justeru, kata beliau, kerajaan tidak terkejut dengan isu-isu baharu dibangkitkan oleh mereka akan melibatkan kes-kes siasatan yang sedang dijalankan oleh agensi-agensi penyiasat seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Dalam hal ini, kita bukan sahaja bersedia menyiapkan jawapan tetapi mereka (pembangkang) harus bersedia menerima jawapan-jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

“Kita bagi penjelasan dan mereka harus berlapang dada menerima jawapan rasmi itu sebagai penjelasan yang tidak boleh diputar belitkan dengan lontaran atau pandangan yang berbeza,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat tentang stesen janakuasa hidro elektrik Bakun oleh Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (Sarawak Hidro) di Empangan Bakun, Belaga di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin apa sahaja dijelaskan oleh kerajaan sukar diterima pembangkang walaupun perkara dinyatakan itu adalah sesuatu yang sahih.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, UMNO tidak akan terjejas dengan tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Saifuddin Abdullah mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

“Beliau (Saifuddin) mungkin lebih sesuai menyertai parti berkenaan untuk memberi sumbangan bagi parti tersebut.

“Sumbangan tersebut ialah dari segi memperbesarkan masalah bagi parti berkenaan kerana semasa beliau berada dalam UMNO, itulah sumbangan besar yang diberikan oleh beliau dan itulah sumbangannya kepada parti disertai beliau sekarang, “ ujarnya dalam nada sinis.

Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila menghadiri mesyuarat meja bulat yang diadakan pembangkang untuk membincangkan penubuhan Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat.