Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, siasatan yang sama juga perlu dilakukan terhadap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik kerana turut mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Saya kecewa apabila polis hanya menyiasat Dong Zong sedangkan pertubuhan itu mengambil berat mengenai kepentingan masyarakat Cina berhubung tulisan Jawi.

“Saya hormati kuasa yang dimiliki polis tapi saya harap pihak berkuasa itu menyisat juga Ismail Sabri dan Maszlee,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Dominic, Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang pernah mengeluarkan kenyataan ‘jangan terkejut sekiranya tingkah laku Dong Zong mengundang pertembungan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969’.

Kata beliau, Maszlee pula pernah menyebut ‘jika ingin menghapuskan matrikulasi, kita juga mesti memastikan peluang pekerjaan tidak ditolak kepada bumiputera yang tidak mengenali Mandarin’.

“Saya harap DOng Zong tidak akan tunduk dengan tekanan dan pendapat umum, Gerakan akan menyokong Dong ZOng berjuang untuk hak masyarakat Cina,” katanya.

Semalam, polis mengambil keterangan Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim serta setiausaha persatuan itu, Ng Chai Heng, di Bukit Aman di sini.

Rakaman percakapan mereka itu dilakukan tmengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam) berhubung beberapa laporan polis yang dibuat terhadap persatuan terbabit.- UTUSAN ONLINE