Segala macam orang besar, daripada menteri sehinggalah yang kini bekas menteri termasuk bosku sudah kenal Tasik Kesuma, Tesco Semenyih, Rinching, Beranang, Bukit Mahkota dan lain-lain.

Justeru, panas memang panas sehangat cuaca yang melanda seluruh negara ketika ini. Malah dalam tempoh 14 hari ini ada lima pengumuman besar dilakukan kerajaan, hampir menyamai PRU.

Antaranya bantuan sara hidup orang bujang RM100 yang dikembalikan, begitu juga bantuan nilai serupa untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), harga siling petrol RON95 yang diturunkan dan paling tidak boleh lupa isu sensasi manifesto, tol percuma tetapi ‘gratis’ dari 11 malam hingga 5 pagi.

Dan masih ingat kenyataan pemimpin Bersatu, Tan Sri Dr. Rais Yatim selepas PH kalah di Cameron Highlands, “nak menang DUN Semenyih kena tutup satu tol dan turunkan harga minyak”?

Cuma Dr. Rais Yatim tentunya tidak terlintas yang komitmen calon PH, Muhammad Aiman Zainali sangat hebat, “menang hari ini esok masalah Semenyih akan diusahakan selesai”. Sebenarnya kalau campur pengumuman hospital Semenyih, jumlahnya barangkali jadi enam atau lebih.

Pengumuman-pengumuman besar oleh kerajaan PH tujuannya bagi mewujudkan feel good factor kepada kerajaan, mungkin mengambil pengajaran daripada Cameron Highlands.

Di pihak pembangkang pastinya tugas mereka sedaya upaya ‘membunuh’ pengumuman inisiatif kerajaan agar dilihat mempunyai 1,001 kekurangan. Seperti mana PH perlekeh BR1M dulu masa PRU14, cuma tugas Barisan Nasional (BN) kelihatan lebih mudah sebab BSH bujang nilainya 27 sen sehari sahaja.

Apa pun, itu atas kertas. Penentuannya esok. Masing-masing ada sebab tersendiri untuk undi calon mana. Ada yang berhujah mahu memudahkan pembangunan dengan memilih calon sealiran kerajaan Pusat dan negeri.

Namun jika mahu ambil pendekatan pragmatik, DUN Semenyih sudah di bawah Parlimen Hulu Langat yang dikuasai PH. Jadi, Aiman menang atau tidak, Semenyih tentunya masih perlu ‘dijaga’ PH.

Maka, tak salah jika mahu menghantar mesej kepada kerajaan PH untuk mempunyai pembangkang yang lebih kuat agar lebih banyak pengumuman kedengaran. Apa pun terpulang pada kehendak masing-masing. - UTUSAN ONLINE