Tidaklah sampai melibatkan perubahan kepada kerajaan negeri apatah lagi Pusat. Namun bahangnya, mungkin dekat nak sama Pilihan Raya Umum (PRU).

Di pihak kerajaan, hampir semua menteri ada saja program politik di DUN yang paling selatan dalam negeri Se­langor. Yang dikatakan belum nampak secara meluas di Semenyih, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Hal sama di kem Barisan Nasional (BN), yang bercuti pun tidak ketinggalan turun. Tidak cukup itu, Pas juga membantu secara nyata, bukan sembunyi-bunyi. Nama-nama besar kedua-dua parti itu kelihatan siang dan malam. 

Malah seteru Kit Siang di PRK Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri Najib Tun Razak memang ‘perah minyak’ habis membantu kempen BN bersama fenomena ‘Bossku’.

Daripada menjadi modal politik ampuh Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14, kini sudah jadi sebaliknya. Serba tak kena lawan, lagi diungkit kisahnya lagi ramai orang nak swafoto dengan Najib.

Apa pun kehadiran ramai pemimpin besar pada PRK masih bukan mengejutkan, tetapi yang mengejutkan pengumuman besar melibatkan rakyat oleh kerajaan PH yang kebetulan berlaku sepanjang tempoh sembilan hari kempen PRK DUN Semenyih.

Sedar tak sedar ada tiga perkara besar diumumkan bagi mengurangkan kos sara hidup bermula 19 Februari lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengembalikan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk orang bujang.

Ini diikuti semalam, pengumuman tanpa tarikh pelaksanaan tol percuma di empat lebuh raya dari pukul 11 malam hingga 5 pagi dan hari ini diumumkan bantuan RM100 kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebagai rakyat, ada berseloroh mahu tempoh kempen di Semenyih lebih lama. Dengan itu, mungkin ba­nyak lagi pengumuman untuk rakyat dibuat. Ini mungkin bagi mewujudkan faktor feel good kepada kerajaan PH setelah formula ‘Najib dan Najib’ sudah kurang menyengat.

Apa pun semuanya bergantung kepada pengundi DUN itu 2 Mac ini, mereka boleh bantu rakyat Malaysia dengan mewujudkan ‘Langkah Semenyih’. 

Keputusan mereka kalau kena cara mampu mempengaruhi kerajaan supaya terus membuat pengumuman baik untuk rakyat pada PRK-PRK yang lain seperti mana yang berlaku di Semenyih seminggu ini. -UTUSAN ONLINE