Wan Muhammad Azri berkata, pihak terbabit boleh menangkap, mengurung dan mendakwanya namun beliau tidak akan berhenti menentang pihak terbabit.

"Baru sahaja kes dibicarakan yang mana saya dituduh di bawah Seksyen 323 mencederakan 'YB lolipop' hingga tisu badan koyak dan pertuduhan Seksyen 509 mengaibkan (Biasa kes ni hanya pada aib wanita ataupun paling tidak pondan).

"Kepada seluruh rakyat Malaysia saya tidak akan gentar ataupun takut lawan kerajaan penipu. Mereka boleh tangkap, kurung, dakwa saya tetapi saya tidak akan pernah berhenti menentang kerajaan penipu yang lagi jijik dan kotor ini," kata Wan Muhammad dalam satu hantaran di Facebook Muhammad Azri.

Wan Muhammad Azri didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas dua tuduhan mengaib dan mencederakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Wan Muhammad Azri dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri sekali setiap sebulan di balai polis yang berhampiran.

Kes beliau akan disebut semula pada 1 April 2019 di hadapan Majistreet Mahkamah Kajang.-UTUSAN ONLINE