Beliau sebaliknya menegaskan, perilaku tersebut lahir daripada kebijaksanaan kerana tidak semua perkara terutamanya membabitkan isu dalaman serta strategi parti, perlu didedahkan kepada umum hanya kerana mahu dilihat ‘garang’ atau ‘bertaring’.

“Tidak ada tekanan, sebenar­nya itu lebih kepada kebijaksana­an, tidak semestinya sesuatu isu itu harus dikongsi dengan umum secara terbuka, harus ada kebijaksanaan dan itulah yang saya lakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini.

Sebelum ini timbul khabar angin bahawa Ahmad Zahid ditekan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga mewujudkan keresahan dalam kalangan ahli UMNO.

Sementara itu, berhubung tindakan ke atas pemimpin UMNO yang keluar parti, Ahmad Zahid berkata, tindakan undang-undang telah dilakukan dan parti kini menyerahkan kepada pasukan peguam untuk menentukannya.

Beliau pada masa yang sama mengulangi keterbukaan untuk mendengar pandangan pengkritik dalam parti, serta tidak berhajat mengambil tindakan disiplin ke atas mereka tetapi mengingatkan pihak terbabit agar tidak pula mengambil ke­sempatan.

Ditanya mengenai isu aset parti yang dipegang pihak tertentu, beliau memberitahu UMNO telah pun mempunyai dokumen untuk mendapatkannya semula, manakala sebahagian lagi sedang diusahakan.